Teringat zaman sekolah rendah, menghafal sifir dengan susah-payah.
Di dalam kelas matematik, Cikgu akan menyoal sifir secara congak dan hanya yang berjaya menjawab dengan tepat mendapat nikmat duduk di kerusi. Yang gagal apabila disoal akan dihukum berdiri atau jika kena hukum penalti, berdiri di atas kerusi.
Ini bukan posting tip menghafal sifir.
Ini catatan pembelajaran tentang aplikasi sifir iaitu PECAHAN di dalam pengajian madrasah.
Kelasnya kelas ilmu FARAID.
Jujur, mulut saya ternganga apabila masuk ke kelas faraid... hari pertama pula.
Tuan Guru Ustaz Ilyas dengan santai membuat pengiraan di whiteboard sambil mengupas istilah matematik dalam bahasa Arab. (Bayangkan para alim ulama kita belajar Maths in Arabic! Subhanallah)
Topik yang dikupas pagi itu ialah langkah membuat pengiraan faraid apabila ada laporan kematian.
Jadi, ustaz akan berikan kes.
Pelajar (kami lah tu) akan buat catatan mengikut laporan yang diperolehi.
Ada beberapa langkah yang harus diambilkira, contohnya, kenalpasti dahulu pertalian antara pelapor dan si mati sebelum catatan dibuat.
Seterusnya, ada formula yang membantu pengiraan.
Dalam posting ini bukan data teknikalnya yang mahu saya tulis, almaklum, budak baru belajar.
Saya terkesima dengan betapa perincinya perintah Allah di dalam kitab manual kehidupan harian kita, Al Quran.
Selama saya belajar matematik, dari satu campur satu sehingga ke kelas calculus, saya tidak pernah nampak kaitan langsung antara ilmu nombor ini dengan susunatur kehidupan, atau lebih tepat lagi, kematian.
Hari ini saya mula melihat aplikasi pecahan.
The application of fractions in fiqh.
Allah cipta nombor untuk kita saksikan ketelitianNya.
1/6, 1/4, 1/3, 1/8, 1/2 - angka-angka ini mewakili hak seorang anak yatim, isteri, ibu, ayah, adik-beradik, dan lain-lain.
Pecahan dicipta Tuhan untuk menyatukan kita.
Wallahu a'lam.
Perjalanan masih jauh.
No comments:
Post a Comment